Hadapi cabaran dengan bertanggungjawab
Kesan kenaikan harga minyak mentah dalam beberapa tahun ini dirasai
penduduk di segenap pelusuk dunia. Bagi meringankan beban rakyat
Malaysia, kerajaan pimpinan BN telah cuba untuk mengekalkan harga
petrol, diesel dan gas pada paras yang rendah. Harga produk-produk
ini adalah antara paling rendah di Asia Tenggara ketika ini.
Para penganalisa meramalkan bahawa harga minyak dunia akan meningkat
lagi dalam tahun-tahun akan datang. BN memahami cabaran ini dan
mahu menghadapinya dengan cara yang bertanggungjawab.
Mengurangkan harga petrol bukan satu 'jawapan' yang baik. Kos yang
diperlukan bagi menampung langkah ini sebenarnya lebih memanfaatkan
golongan berpendapatan tinggi daripada golongan berpendatapan rendah.
Adalah lebih baik jika golongan berpendapatan rendah dibantu secara
terus, samada melalui bantuan kewangan atau bantuan harga.
Mengurangkan harga petrol juga menggalakkan penggunaan yang berlebihan.
BN mahu membantu rakyat Malaysia mengurangkan penggunaan bahanapi
berharga tinggi dengan menggalakkan penggunaan berhemat dan penggunaan
sumber tenaga alternatif.
Mengurangkan harga petrol juga akan menyebabkan pergantungan berlebihan
kepada daya pengeluaran minyak mentah dan gas negara. Malaysia diramalkan
akan menjadi pengimpot minyak mentah, bukan lagi pengekspot, kurang
sepuluh tahun dari sekarang. Kita mesti menggunakan kekayaan yang
terhad ini untuk membangunkan sumber kekayaan lain bagi masa hadapan
kita.
|