Bahasa Malaysia | English  
Kerajaan lulus dasar jual rumah PPR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Satu mekanisme dan syarat bagi pembelian rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi Dasar Perumahan Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diluluskan oleh Kabinet pada 8 Mac lepas.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, dengan adanya mekanisme itu, kerajaan berharap proses pendaftaran dapat dimulakan pada bulan ini.

Menurutnya, syarat-syarat kelulusan akan diputuskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan keutamaan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Pasar Air Panas Setapak di sini semalam, Zulhasnan berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur akan turun padang bersama pegawai DBKL bagi memberi penerangan kepada penghuni PPR berhubung perkara itu.

"Kini, saya yakin kita dapat menyelaraskan satu sistem perumahan yang efisien dan efektif di Kuala Lumpur termasuk mencapai sasaran setinggan sifar menjelang akhir tahun ini," katanya.

Zulhasnan juga mengumumkan keputusan Kabinet yang meluluskan kaedah Pembangunan Semula PPR Bandar yang dibangunkan sejak tahun 1958 yang mengandungi 23,638 unit rumah dengan satu dan dua bilik tidur.

Ini, katanya, termasuk 10,224 unit di 87 blok melalui Skim Pembangunan Bandar yang membabitkan rumah yang dibina sebelum tahun 1983 manakala 14,503 unit (86 blok) melalui Skim Penambahan Bilik yang dibina selepas tahun 1984.

Beliau berkata, 93 blok yang mengandungi 27,102 unit telah siap manakala 21 blok yang mengandungi 5,660 unit akan siap April ini.

Zulhasnan berkata, pembangunan PPR yang baru akan turut melibatkan kawasan Parlimen Seputeh, Segambut, Cheras, Bukit Bintang, Wangsa Maju, Titiwangsa dan Kepong.

Setakat ini, katanya, DBKL telah memindahkan 15,268 keluarga setinggan ke PPR manakala baki 9,181 keluarga lagi akan dipindahkan secara berperingkat-peringkat selepas April ini.

Pada Julai tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penjualan 15,007 unit rumah PPR berharga RM35,000 seunit menerusi Program Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Sementara itu, Datuk Bandar, Datuk Ab. Hakim Borhan ketika mengulas pengumuman Zulhasnan itu berkata, kesemua penyewa rumah PPR di ibu negara berpeluang membeli kediaman mereka dan bukan terhad kepada PPR Lembah Pantai sahaja.

Katanya, perkara itu sudah dimuktamadkan tetapi DBKL perlu menyelesaikan beberapa perkara dan menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakannya.

"Saya harap penyewa bersabar menunggu perkara ini dan sekiranya dipersetujui oleh semua pihak, mereka pasti dapat membeli rumah tersebut,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Cek kepada persatuan-persatuan penduduk seluruh ibu negara di sini hari ini.

Ab. Hakim berkata, mekanisme dan syarat penjualan itu sedang diperhalusi oleh DBKL tetapi salah satu syarat utama ialah penyewa tidak dibenarkan untuk membeli rumah lebih dari satu unit rumah.

"Rumah yang boleh dibeli hanyalah rumah yang mereka diami ketika ini sahaja dan tidak boleh membeli rumah lain walaupun ada kekosongan,'' jelasnya.

sumber: Utusan