BESUT 6 Mac – Kadar kemiskinan di Terengganu menurun kepada 6.5 peratus pada tahun lepas berbanding 15.4 peratus pada tahun 2004 berdasarkan hasil kajian yang dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kajian itu juga mendapati bilangan golongan miskin di negeri ini berkurangan daripada 30,860 orang kepada 13,164 orang dalam tempoh yang sama.
Dalam pada itu, pendapatan isi rumah penduduk juga meningkat daripada RM1,984 kepada RM2,463 sebulan yang menunjukkan peningkatan sebanyak 7.5 peratus sejak Barisan Nasional (BN) memerintah.
‘‘Jumlah dan peratus yang diambil itu dikira bermula daripada tahun 2004 iaitu setelah BN berjaya mengambil alih semula tampuk pemerintahan dari Pas yang membuktikan kemiskinan telah berkurangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas meletakkan batu asas Lebuh Raya Keruak ke Gunung Bongsu, Kuala Berang di Dataran Kampung Keruak di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdulah Md. Zin.
Lebuh raya dua lorong sepanjang 45 kilometer yang menelan belanja kira-kira RM500 juta itu bakal menghubungkan kawasan pedalaman Terengganu ke Pantai Barat dan Utara semenanjung negara ini.
Pembinaan yang akan dimulakan pada akhir tahun ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun bakal memendekkan tempoh perjalanan di samping menjana pembangunan sosial ekonomi kawasan luar bandar, pelancongan, tarikan pelabur serta aktiviti pertanian.
Idris yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, parti pembangkang telah mengeksploitasikan kadar kemiskinan itu untuk dijadikan isu yang sebenarnya merupakan kadar yang dicatatkan semasa parti pembangkang memerintah Terengganu.
Mengenai lebuh raya itu, beliau berkata, projek itu adalah hasil kerja kerajaan BN dan UMNO yang tidak hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal malah pada masa yang sama membangunkan rakyat dengan peluang pekerjaan.
‘‘Inilah sebenarnya kerja kebajikan yang dilakukan bagi memenuhi kehendak rakyat dan perbelanjaan yang seimbang meskipun sentiasa dicaci oleh parti pembangkang yang tidak mengetahui keadaan sebenar,’’ katanya.
sumber: Utusan |