Bahasa Malaysia | English  
PM ulas tindakan SPR

KOTA BHARU 4 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan cadangan menggunakan tanda dakwat kekal di kuku atau jari tangan pengundi pada pilihan raya umum Sabtu ini bertujuan mengelakkan berlaku penganiayaan di kalangan pengundi berdaftar.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dirasakan perlu bagi SPR untuk mengelakkan pihak-pihak tertentu daripada cuba mengganggu proses pilihan raya dan menghalang pengundi menunaikan tanggungjawab amalan demokrasi itu.

‘‘Kemungkinan ada tindakan- tindakan daripada pihak-pihak tertentu yang boleh menimbulkan keributan dan boleh berlakunya kemungkinan orang yang hendak mengundi tak dapat mengundi disebabkan kukunya telah diletakkan dakwat ini.

‘‘Maka ini adalah satu penganiayaan yang tidak boleh dibenarkan,’’ katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Badan Perhubungan UMNO Kelantan di sini malam ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan SPR itu.

Abdullah berkata, dalam membuat sesuatu keputusan, SPR mengutamakan hak rakyat yang berdaftar sebagai pengundi bagi mengelakkan mereka teraniaya.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, pembatalan penggunaan dakwat itu bukanlah keputusan yang dibuat oleh parti tersebut dan ia bukanlah sesuatu yang menggembirakan.

‘‘Ini tiada kena-mengena dengan kita, keputusan dibuat sendiri oleh SPR dan kita pun mahu dengar maklumat lanjut daripada mereka.

‘‘Saya telah meminta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad untuk mendapatkan penjelasan lanjut,’’ ujarnya.

Perdana Menteri berkata, SPR harus memanggil ketua-ketua parti atau wakil mereka untuk memberi penjelasan berhubung keputusan berkenaan supaya tidak berlaku perkara yang tidak baik.

sumber: Utusan